Pengenalan Pengenalan

IADA (Integrated Agriculture Development Area) atau sebelum ini dikenali sebagai IADP (Integrated Agriculture Development Project) ditubuhkan berdasarkan konsep pembangunan pertanian secara bersepadu. IADA Barat Laut Selangor telah dibuka dengan rasminya oleh bekas Menteri Besar Negeri Selangor YAB. Datuk Hormat bin Rafei pada 6 Jun 1978.

 

IADA Barat Laut Selangor bertanggungjawab dalam pembangunan kawasan pertanian, tanaman dan penduduknya yang sedia ada. Struktur Organisasi dan pengurusan yang diamalkan oleh IADA adalah secara korporat dengan penyelarasan tiga agensi iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Lembaga Pertubuhan Peladang. IADA Barat Laut Selangor berhasrat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat golongan sasar ke arah Negara berpendapatan tinggi.

 

Tumpuan pembangunan IADA Barat Laut Selangor melibatkan semua aktiviti pembangunan infrastruktur pertanian di kawasan penanaman padi seluas 19,057 ha yang merangkumi Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Di samping itu, usahawan-usahawan Industri Asas Tani di bawah bimbingan Lembaga Pertubuhan Peladang IADA Barat Laut Selangor juga dibantu dari segi modal insan serta keperluan peralatan dan kemudahan pemprosesan makanan.